JALINAN...hubungan ibu dan anak tiada penghujungnya.
DR WAN MAZIAH...pemberhentian susu ibu lebih awal
dikaitkan dengan risiko si ibu menghidap penyakit kemurungan selepas bersalin.
TIDAK dapat dinafikan segala perancangan penyusuan bayi harus bermula dari
peringkat awal iaitu semasa mengandung yang mana si ibu perlu melengkapkan
dirinya bukan saja dengan pemakanan seimbang tetapi juga melengkapi emosi
diri.
Namun, ramai juga ibu yang sering tertanya-tanya kaedah untuk menghasilkan
susu yang banyak supaya tidak perlu dicampur dengan susu formula.
“Pemakanan seimbang yang tinggi kalsium seharusnya diteruskan ketika
menyusukan bayi untuk memenuhi keperluan zat dan tumbesaran bayi.
“Malah, si ibu terbabit perlu menyambung pengambilan vitamin prenatal
dan minum air yang mencukupi untuk menampung kedua-dua ibu dan anak,” kata Pakar
Kanak-Kanak, KPJ Seremban, Dr Wan Maziah Wan Mohamed.
Selain itu katanya, si ibu juga memerlukan waktu rehat yang mencukupi dan
perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang. Ia mungkin tidak begitu mudah jika
si ibu berkenaan perlu juga menjaga anak yang lain oleh itu, sokongan keluarga
sangat penting.
Kadangkala si ibu juga perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan lain
justeru, mereka seharusnya merujuk kepada doktor untuk memastikan ia selamat
digunakan sewaktu proses penyusuan (laktasi).
“Menyusu bayi seawal
mungkin (sebaik-baiknya dalam jam pertama selepas bersalin) akan membantu
pengeluaran susu lebih cepat dan banyak.
“Ini disebabkan setiap kali
bayi menyusu, ibunya akan dirangsang dan pengeluaran hormon prolaktin dan
oxytocin akan membantu menambah susu,” katanya.
Oleh itu katanya, lebih
kerap bayi menyusu pada peringkat awal, lebih cepat terhasil pengeluaran susu
yang mencukupi.
Namun, jika bayi diberi susu formula untuk menampung
keperluan bayi pada minggu pertamanya, rangsangan kepada si ibu menjadi kurang
dan pengeluaran susu ibu juga akan tergendala.
Malah, manfaat susu ibu
untuk memberi perlindungan kepada usus bayi berkenaan juga akan terjejas kerana
koloni bakteria baik akan berkurangan.
Di samping itu, Dr Wan Maziah
berkata, pemberhentian susu ibu lebih awal ataupun tidak menyusu ibu dikaitkan
dengan risiko lebih tinggi untuk si ibu menghidap penyakit kemurungan selepas
bersalin (postpartum).
Kemurungan postpartum ialah ketidakseimbangan
kimia yang secara amnya berlaku antara dua hingga lima minggu selepas seseorang
wanita melahirkan anak.
Tekanan perasaan tahap kedua ini dikategorikan
sebagai sederhana, juga dikenali sebagai kemurungan dan biasanya dialami sekitar
10 hingga 15 peratus wanita bersalin.
Masalah kemurungan ini boleh
berpanjangan jika tidak dirawat. Selalunya, ia menyerang dalam tempoh pantang
atau enam bulan pertama selepas bersalin.
“Antara gejala kemurungan ini
adalah rasa sedih berpanjangan, rendah diri dan berasa dia bukan ibu yang baik
bagi anak dilahirkan, tidak boleh menumpukan perhatian, letih dan tertekan,
kurang selera makan serta sukar tidur malam.
“Namun, masalah ini boleh
dirawat melalui perubatan dan terapi jika berjaya dikesan pada peringkat awal.
Tetapi paling penting adalah sokongan keluarga terutama suami yang banyak
membantu menangani gejala ini daripada berterusan,” katanya.
Baginya,
menyusukan bayi dengan susu ibu adalah salah satu langkah bijak yang boleh
diambil sepanjang proses tumbesaran anak.
Katanya, banyak kajian
dilakukan sama ada menggunakan kaedah epidemiologi dan teknik makmal yang
canggih menunjukkan terdapat banyak manfaat terhadap penggunaan susu ibu kepada
anak jika ia diberikan sejak awal kelahirannya.
Antaranya merangkumi
faedah kesihatan, imunologi, perkembangan dan tumbesaran anak, psikologi serta
faktor sosio ekonomi namun begitu, masih ramai golongan ibu yang tidak
menyusukan bayi mereka secara khusus.
“Keadaan ini mungkin disebab�kan
masih ramai tidak mengetahui atau tidak begitu yakin dengan khasiat susu ibu
ataupun disebabkan proses menyusukan anak memerlukan dedikasi dan disiplin yang
tinggi daripada kedua-dua ibu bapa.
“Ada golongan ibu yang melihat
penyusuan susu ibu hanya dilakukan oleh orang kampung saja lantas mereka enggan
meneruskan penyusuan apatah lagi adanya pelbagai faktor kekangan seperti
kerjaya,” katanya.
Menurutnya, penyusuan ibu sebaik-baiknya secara
eksklusif dilakukan selama enam bulan dan diteruskan hingga satu tahun untuk
meraih sebanyak mungkin manfaat daripadanya.
Apakah sebenarnya khasiat
susu ibu? Kenapa ia dikenali sebagai makanan terbaik bagi bayi dan digunakan
sebagai ‘standard emas’ untuk pembuatan susu formula?
Dr Wan Maziah
berkata, susu ibu adalah satu produk ‘hidup’ yang mengandungi pelbagai antibodi,
enzim dan hormon yang tidak mungkin mampu dihasilkan secara buatan.
Malah, kandungan susu ibu berkenaan berbeza mengikut individu dan
peringkat perkembangan mereka. Disebabkan itu, golongan ibu mengeluarkan susu
paling sesuai untuk bayi mengikut kematangan bayi mereka dan kesan daripada
penyusuan susu ibu ini akan kekal hingga dewasa.
“Kajian menunjukkan
penurunan risiko penyakit akut otitis media, cirit-birit, jangkitan saluran
pernafasan yang teruk, dermatitis atopi, asma (kanak-kanak), obesiti, diabetes
jenis 1 dan 2, leukemia, sindrom kematian mengejut bayi dan necrotising
enterocolitis.
“Malah, tidak dinafikan masih banyak lagi kajian sedang
dilakukan untuk mengenal pasti kandungan lain susu ibu dan khasiatnya yang mampu
mempengaruhi tumbesaran terbaik bagi bayi,” katanya.
Manfaat penyusuan
ibu bukan hanya tertumpu kepada bayi kerana ia membentuk jalinan rapat antara si
ibu dan bayi.
Proses berkenaan juga berupaya mempercepatkan pengecutan
rahim kepada normal selain boleh mengurangkan berlakunya diabetes jenis 2,
osteoporosis, kanser payudara dan kanser ovari.
“Malah, penyusuan ibu
juga baik daripada segi sosio ekonomi kerana selain diperoleh secara percuma, ia
juga menjimatkan kos rawatan hospital disebabkan anak lebih sihat.
“Anak
yang sihat mempunyai minda lebih cerdas serta mampu menjadi insan lebih
sempurna, berjaya dan menghasilkan generasi akan datang yang lebih cemerlang,”
katanya.
Selepas ibu mula bekerja, disarankan supaya si ibu meneruskan
penyusuan susu ibu dengan cara menyimpan perahan susu dalam peti sejuk beku dan
digunakan bila perlu ketika waktu bekerja.
Selain itu, tekanan pekerjaan
juga boleh mengurangkan pengeluaran susu, namun terdapat ubat yang boleh
membantu menambahkan susu tetapi golongan ibu seharusnya mendapat nasihat
daripada doktor sebelum mencubanya.
Pengambilan ubatan untuk menambah
susu seperti ini harus digunakan sebagai langkah terakhir jika semua ikhtiar
yang dilakukan tidak berhasil dan diingatkan, rangsangan terbaik masih daripada
bayi yang menyusu badan.
“Terdapat juga keadaan tertentu seperti masalah
kesihatan yang memaksa golongan ibu untuk memberi susu formula. Si ibu terbabit
perlu memilih susu formula yang tidak membuatkan bayi sembelit atau cirit-birit
serta tidak menimbulkan alahan.
“Jika keadaan ini berlaku maka si ibu
tidak perlu bersedih kerana tidak mampu memberikan makanan terbaik (susu ibu)
kepada bayi kerana bayi masih lagi mampu membesar sebaiknya jika cara dan
langkah yang dilakukan mengikut aturan yang betul,” katanya.